Minda Mati Pucuk

Mahasiswa yang percaya dengan falsafah “mahasiswa hanya belajar,xperlu berpolitik” sememangnya ibarat lelaki dgn ED. Ada, tapi xboleh guna. Apa guna belajar tapi xboleh dimanfaat?

Perkongsian di status facebook saya pagi hari ini. Tidak dapat tidak sebagai seorang pelajar saya terpanggil untuk menyatakan mengapa perlu seorang mahasiswa atau pelajar, terutama sekali mereka yang masih di usia remaja untuk dirai penglibatan dan peranan mereka dalam lanskap politik dunia dan negara.

Remaja, pelajar, mahasiswa. Mereka inilah yang mencorak masa hadapan negara dan dunia.

Mengehadkan politik dan isu semasa pada mereka sama ertinya menjatuhkan masa depan negara in advance.

Pada umur 15 tahun, Imam As-Syafi’e sudah mula mengeluarkan fatwa.

Panglima perang termuda, Usamah bin Zaid bin Haritsah memimpin batalion perang yang disertai Abu Bakr As-Siddiq, Umar al-Khattab, Abu Ubaidah al-Jarrah dan para sahabat lain pada umur 18 tahun.

Sultan Murad II menaiki takhta kerajaan Uthmaniyyah juga semuda 18 tahun.

Sultan Muhammad Al-Fatih pula hanya berumur 14 tahun ketika beliau pertama kali menaiki takhta menggantikan ayahanda beliau.

Belum kita kenang kembali keberanian Saidina Ali menggantikan tempat tidur Rasulullah SAW yang hampir menyebabkan beliau dibunuh assasin musyrikin dalam peristiwa hijrah. Beliau masih lagi di usia remaja.

Mustahil individu hebat seperti mereka dan ramai lagi susuk hebat baik Muslim atau tidak, mampu dilahirkan dalam suasana pembelajaran yang menyekat potensi diri. Pelaksanaan AUKU di akui penting bagi mengawal mahasiswa yang mudah tersasar matlamat, tetapi tidak sehingga mematikan peranan mahasiswa.

Ilmu tanpa amal ibarat lelaki mati pucuk. Ada tapi tak berfungsi.
Amal tanpa ilmu umpama derma si kafir. Baik tapi tidak membaiki.

Maka rugilah diri.

Belajar dan amalkan.

Muslim Mesti Guna Otak!

Gelang magnet untuk kesihatan.

Gelang untuk mengimbangi tenaga badan.

viagra. cepatkayaskimsedekah. krimmontokanjal. ubatkecerdasanminda. tehkurusmelidi. paddetoxtanpahenti.

Credit to famous c&p source: Wikipedia

Power Balance Bracelet

*nerd mode: on*

Tahukah anda?
Menggunakan otak atau dalam bahasa saintifiknya “fikir” memerlukan didikan dan latihan. Keciciran pendidikan “fikir” ini akan mengakibatkan gejala-gejala berikut.

  • Kurang daya saing
  • Kurang keyakinan diri
  • Kurang harga diri
  • Banyak ditipu
  • Sering dimanipulasi
  • Kerap menyesali diri

Pendidikan berfikir ini tidak mungkin diajar di sekolah mahupun di kuliah-kuliah akademik walaupun kini kebanyakan institusi pengajian tinggi mula memperkenalkan mata pelajaran “Creative Thinking” dalam program-program mereka. Creative thinking atau berfikir secara kreatif adalah antara pendidikan berfikir. Namun, cara pembelajaran yang masih berteraskan teori dan peperiksaan membunuh keberkesanan mata pelajaran ini dalam melahirkan graduan yang mampu menggunakan otak.

*nerd mode turned off*

Maka, ingatlah wahai diri, antara cara berfikir yang di ajar tuhan mu yang Maha Esa lagi Maha Berkuasa seperti firman-firman-Nya yang bermaksud.

Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu pergi (berperang) pada jalan Allah (untuk membela Islam), maka hendaklah kamu menyelidik (apa jua perkara dengan sebaik-baiknya), dan janganlah kamu (terburu-buru) mengatakan kepada orang yang menunjukkan kepada kamu sikap damai (dengan memberi salam atau mengucap dua Kalimah Syahadat): “Engkau bukan orang yang beriman” (lalu kamu membunuhnya) dengan tujuan hendak (mendapat harta bendanya yang merupakan) harta benda kehidupan dunia (yang tidak kekal). (Janganlah kamu gelap mata kepada daki dunia itu) kerana di sisi Allah ada disediakan limpah kurnia yang banyak. Demikianlah juga keadaan kamu dahulu (dapat diketahui oleh orang lain akan keIslaman kamu dengan memberi salam atau mengucap kalimah Syahadat), lalu Allah mengurniakan nikmatNya kepada kamu. Oleh itu selidikilah (apa-apa jua lebih dahulu, dan janganlah bertindak dengan terburu-buru). Sesungguhnya Allah sentiasa memerhati dengan mendalam akan segala yang kamu lakukan. (An-Nisaa’ 4:94)

Dan (tidak ada sebarang alasan bagi dakwaan mereka, kerana) Kami tidak pernah memberi kepada mereka Kitab-kitab untuk mereka membaca dan mengkajinya, dan Kami juga tidak pernah mengutus kepada mereka sebelummu (wahai Muhammad) seseorang Rasul pemberi amaran (melarang mereka menerima ajaranmu). (Saba’ 34:44)

Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan. (Al-Hujuraat 49:6)

Kaji dan selidiklah!

Salam ‘Eid Adha

Credit to Boston.com

Ibadah korban bukan “offerings” kepada Allah.

Tiada nilai haiwan korban yang gemuk mahupun kurus.
Tiada erti dibeli lembu beribu ringgit mahupun kambing baka terpilih.
Baik unta di bawa khas dari Australia.

Rugi diri tanpa ikhlas dihati.
Hilang budi tanpa taqwa iringi.
Usaha dan tawadhuk perbaiki amal diri.
Semoga gembira di kemudian hari.

Taqwa nilaian disisi ilahi.
Modal tempahan di jannah nanti.
Bukanlah sembelihan bukti hakiki.
Jika dihati busuk mendengki.

Muslim Itu Pemikir

518 hari laman ini bersawang tanpa sebarang perkongsian.

Alhamdulillah dengan segala nikmat yang melimpah ruah tanpa pernah putus dari Dia yang esa. Sungguh tanpa rahmat dan kasih mu, mustahil untuk aku yang amat hina ini melihat sinar pagi mu yang maha indah Ya Allah. Sungguh diri ini mudah lalai dalam nikmat mu dan alpa pada tanggungjawab ku.

Terlintas sepotong ayat:

Dari hasil pembacaan dan perkiraan saya sendiri, terdapat sekurang-kurangnya 30 ayat di dalam Al-Quran menyeru kita untuk berfikir (sekiranya anda membaca dan berfikir).

Bacalah hanya sepatah ayat,semoga sudah cukup untuk menjentik kotak minda untuk berfikir tanpa mengabaikan zikir. Berdasarkan kepada pengetahuan yang terhad ini, jelas kesemua baris ayat tersebut menunjukkan kepentingan berfikir dalam dalam diri setiap individu Muslim. Bahawa aku harus berfikir. Bahawa berfikir itu perlu bersumberkan rujukan hakiki. Bahawa setiap tindak tanduk ku perlulah didasari fikiran yang benar lagi bersih.

Sepanjang tahun bergelumang dengan ilmu,saya ditemukan dengan teknik-teknik berfikir dan cara berfikir yang telah banyak di perkenalkan kepada umum. Semenjak di sekolah lagi, bahan P&P diolah agar para pelajar mampu berfikir secara kreatif dan kritis. Menjengah ke pendidikan tinggi, keperluan untuk berfikir secara analitikal di tekankan. Hasil bacaan dan juga saranan daripada pensyarah kelas Promotional Management juga menekankan kepentingan menjadi seorang meta-thinker. Tidak lupa tools untuk berfikir seperti teknik peta minda daripada Tony Buzan, 6 Thinking Hat daripada Edward de Bono atau Fishbone Diagram daripada Kaoru Ishikawa. Terbukti, berfikir adalah satu keperluan dan hakikat bagi setiap insan yang membezakan diantara yang berjaya dan gagal. Persoalannya, adakah aku berfikir secara cemerlang. Adakah aku berfikir secara teratur dan berkualiti? Adakah aku belajar dengan berfikir dan mengambil iktibar? Mampukah aku membuat keputusan yang terbaik?

Islam itu sendiri sebuah agama yang menggalakkan berfikir. Di ajar cara berfikir yang paling asas dengan membandingkan di antara dua perkara.

Serta berfikir secara analitikal.

Hatta kemestian untuk berfikir dalam keadaan yang tenang.

Amat jelas, berfikir bukan perkara mudah. Berfikir bukan untuk semua, kerana masih ada segelintir yang enggan berfikir. Jika tidak, masakan disebut “kaum yang berfikir”?

Tergolongkah aku?

Nota:
InsyaAllah akan bersambung di bahagian kedua.

Konvensyen Pemikiran Hasan Al-Banna Dalam Melakar Agenda Bangsa

Assalamu’alaikum,

Di kesempatan ini, saya ingin mengajak tuan puan sekalian untuk turut serta menghadiri Konvensyen Pemikiran Hasan Al-Banna anjuran ISMA.

TARIKH: 30 JANUARI 2010
TEMPAT: DEWAN SRI SARJANA, UNIVERSITI TENAGA NASIONAL (UNITEN), KAMPUS PUTRAJAYA

Untuk maklumat lanjut sila layari KOBANNA


———————————————————————————–

Mengenali Imam Hasan Al-Banna

Terdapat banyak biografi beliau yang terdapat di internet, namun saya memilih artikel berikut yang dirasakan menarik untuk dikongsi.

Syahidnya Hassan Al Banna

Syeikh Hasan Al-Bana dilahirkan pada tahun 1906, yang dibesarkan dalam keluarga Islam yang taat. Dengan asuhan secara Islam itulah maka beliau berkata: “Hanya Islamlah ayah kandungku.” Hal itu kerana rasa cintanya terhadap ajaran Islam, kerana ajaran itulah yang membentuk watak dan keperibadiannya.

Ayah kandungnya sendiri adalah Syeikh Ahmad Abdurrahman yang lebih terkenal dengan panggilan as-Sa’ati, atau si tukang jam.

Hasan Al-Bana hafal 30 Juz kitab suci Al-Quran, padahal umur beliau pada saat itu baru 20 tahun. Ketika umur yang sekian itu beliau berhasil menginsafkan Syeikh Abdul Wahab Jandrawy, Pemimpin (Syeikh) Al-Azhar University yang mempunyai pengaruh besar pada segenap lapisan masyarakat dan mempunyai hubungan yang akrab dengan berbagai pihak.

Namun Syeikh yang banyak ilmunya itu tidak mempunyai roh jihad membela rakyat dan Islam dari kezaliman Raja Farouk dan penjajah Inggeris. Kecuali Syeikh Jandrawy ini adalah seorang pemimpin Sufi yang mempunyai banyak pengikut setiap malam berzikir dan berselawat dengan nyanyian-nyanyian khusus ahli Thariqat, tetapi mereka tidak mengerti sama sekali bahawa mereka itu terkurung oleh suasana yang diliputi kejahilan dan kejumudan umat. Mereka jauh dari semangat dan keagungan Islam kerana suasana kemunduran umat yang membelenggu.

Pada tahun 1927, ketika Hasan Al-Bana baru berusia 21 tahun, beliau telah lulus dari Perguruan Darul Ulum Mesir, beliau terus mengajar di Ismailiyah. Di Ismailiyah beliau semakin mengerti suasana rakyat Mesir yang telah sempurna rosaknya. Amat nyata perbezaannya antara kehidupan bangsa Mesir yang menjadi pekerja kasar dengan rumah serta perkampungan yang buruk; dengan kehidupan orang-orang kulit putih yang menempati gedung-gedung megah dengan segala keangkuhannya. Kecuali kemiskinan dan kebodohan, rakyat juga banyak yang rosak moralnya kerana pengaruh kehidupan Barat yang sengaja direka oleh kaum penjajah untuk menghancurkan rakyat Mesir dari segi yang lain.

Dalam suasana yang demikian itulah Hasan Al-Bana mendirikan suatu jemaah yang dinamakan “Al-lkhwanul Muslimin” (Persaudaraan orang-orang Muslim) pada bulan Dzul Kaedah 1347 Hijrah (Mac 1928) yang bertujuan untuk mewujudkan cita-cita Sayid Jamaluddin Al-Afghani dan Muhammad Abduh. Semangat kedua beliau itulah sebagai rantai yang menyambung kepada cita yang diinginkan oleh Hasan Al-Bana beserta kawan kawannya di dalam membentuk organisasi tersebut.

Adapun khiththah gerakan lkhwanul Muslimin yang menuju cita yang diredhai Allah berdasarkan Al-Quran dan Sunnah Rasulullah SAW itu melalui tahapan yakni:
1. Membentuk peribadi Muslim
2. Membentuk rumahtangga dan keluarga Islam
3. Cara hidup kampung Islam
4. Menuju kepada negeri Islam
5. Menuju kepada pemerintahan Islam.

Gerak Ikhwanul Muslimin meliputi segala bidang dakwah, mulai pendidikan terhadap anak-anak, pelajaran Al-Quran bagi orang dewasa, pendidikan keluarga, bidang sosial walaupun nampaknya sederhana sekalipun, dari kampung-kampung sampai kepada Universiti di kampus-kampus, mulai artikel sampai penerbitan buku dan majalah-majalah, sampai kepada urusan politik dalam amar makruf nahi mungkar, dan sebagainya.

Sampai kepada Muktamar Ikhwanul Muslimin yang ketiga tahun 1934, tampak tokoh-tokoh intelektual dan para ulama terkenal yang menjadi anggota dan pendukung Ikhwan, seperti Syekh Thanthawi Jauhari, seorang ahli tafsir terkenal dan Guru Besar. Kemudian Sayid Quthub, Dr. Abdul Qadir Audah, seorang Hakim terkenal, dan juga Dr. Hasan Al-Hadlaiby, dan sebagainya.

Syeikh Hasan Al-Bana bersama kawan-kawannya tidak mampu berdiam diri menghadapi kekuasaan Raja Farouk yang telah tenggelam dalam kemabukan, rasuah, dan sewenang-wenang. Perbezaan pendapat, perselisihan, dan akhirnya pertentangan dengan penguasa yang aniaya dan dibantu oleh kekejaman penjajah Inggeris tidak dapat dihindarkan.

Tentu saja penyokong Kerajaan bekerja keras untuk dapat mengawasi gerak-geri para anggota Ikhwanul Muslimin. Kaum Imperialis Inggeris pula di dalam mencelakakan Ikhwanul Muslimin mempunyai peranan yang sangat besar.

Akhirnya pada pagi hari tanggal 13 Februari 1949 beliau memanggil puteranya. Kemudian beliau bercerita kepada puteranya itu bahawa semalam beliau bermimpi merasa dikunjungi Sayyidina Ali bin Abi Thalib. Ali bin Abi Thalib berkata kepada beliau: “Wahai Hasan, kamu telah menunaikan kewajipan, semoga amalmu diterima oleh Allah.”
Kemudian pada petang harinya, beliau meninggalkan rumah bersama kawan-kawan seperjuangan pergi menunaikan tugas. Tiba-tiba beliau di tembak oleh seorang anggota Polis kakitangan Raja Farouk, dan tersungkurlah beliau di tepi jalan Kairo, dan beliau menemui syahidnya setelah sampai di hospital.

Beliau meninggal dunia kerana ditembak di pinggir jalan raya, dan tidak diketahui siapa pembunuhnya. Bahkan pembunuhnya mendapat hadiah dari Raja Farouk.

Jenazah beliau hanya disolatkan oleh ayah beliau sebagai Imam dan anak lelaki beliau sebagai makmum. Hanya dua orang. Kerana di sekeliling rumah beliau dijaga ketat oleh askar negara untuk melarang siapapun masuk rumahnya memberikan penghormatan terakhir kepada beliau.

Dipetik daripada ustazazhar.com

Aku Membaca Bukan Kerna Hobi

Ini hanyalah sekadar buah fikiran saya berkenaan budaya membaca dikalangan masyarakat kita-Melayu atau tidak. Skeptik dengan pihak yang mengatakan budaya membaca sangat rendah dikalangan masyarakat Malaysia-Melayu terutamanya. Sebagai salah seorang ahli didalam “masyarakat” tersebut, sudah tentu saya sangat tidak bersetuju dengan dakwaan-dakwaan pihak berkenaan.

Kekurangan Bahan Bacaan

Masyarakat Malaysia sememangnya rajin membaca, terima kasih atas promosi Perpusatakaan Negara Malaysia agar membaca dijadikan amalan yang nampaknya memberikan impak positif terhadap aktiviti membaca dikalangan masyarakat Malaysia. Kajian PTS mendapati purata seorang rakyat Malaysia menghabiskan sekurang-kurangnya 8 buah buku setahun (Ainon, 2008). Ini tidak termasuk bahan bacaan sampingan seperti majalah-majalah, surat khabar, artikel-artikel di internet dan pelbagai sumber bacaan lain yang mungkin terlepas pandang dalam mengkaji tahap pembacaan masyarakat Malaysia. Tidak dinafikan, kekurangan sumber bacaan dalam bahasa ibunda sendiri boleh memberi kesan negatif pada budaya membaca masyarakat. Lebih utama, penggunaan Bahasa Melayu tinggi direndahkan oleh penulis-penulis, khususnya penulis-penulis blog, seakan-akan merendahkan potensi menulis mereka.

Faktor Genetik Pengaruh Budaya Membaca

Berkerut dahi saya kehairanan apabila ada mengatakan budaya membaca dipengaruhi oleh faktor genetik. Sungguh menghairankan! Ibubapa saya datang dari keluarga yang kurang berkemampuan, namun mereka rajin membaca. Ini berlainan dengan anak sulung mereka (saya lah tu!) yang sangat malas membaca. Saya hanya mula membaca setelah saya tamat sekolah menengah, kerana menyedari membaca bukan hobi, bukan juga aktiviti mengisi masa lapang, tetapi keperluan, kewajipan setiap insan terutama mereka yang bergelar Muslim. Masakan tidak? Sedangkan Rasullullah sendiri, biarpun dikurniakan Allah ketidakmampuan untuk membaca (Ya! Itu satu kurniaan), diajar ayat pertama oleh Jibril “Bacalah!”. Mengapa tidak Jibril katakan “Dengarlah!” sedangkan itu lebih mudah, hanya dengar ceramah, pembentangan, dan bacaan orang lain juga kita boleh mendapatkan ilmu. Sumber rujukan seorang Muslim, Al-Quran dan Al-Hadith juga memerlukan kita untuk membacanya, bukan sekadar melihat-membaca mengeluarkan suara- atau mendengar. Jelas, membaca langsung tidak dipengaruhi genetik. Tetapi saya bersetuju persekitaran memainkan peranan penting dalam memupuk budaya membaca. As-Syahid Al-Imam Sheikh Hasan Al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin, dalam usaha menyemai budaya membaca kepada anak-anak beliau, menghadiahkan mini library kepada setiap putera dan puteri beliau.

Membaca Untuk Mengoncang Dunia

Tun Dr. Mahathir Mohamad antara seorang pemimpin yang kagumi umum sebagai seorang strategist thinker, dengarnya membaca sebuah buku walau didalam tandas. Bill Gates, billionaire no. 1 dunia dalam bukunya Business at The Speed of Thought menegaskan, siapa yang menguasai maklumat, menguasai dunia. Apakah lagi sumber maklumat jika bukan dengan membaca? Islam sangat menggalakkan budaya membaca, lihat sahaja sumber rujukan utama seorang Islam, Al-Quran dan Al-Hadith. Kedua-duanya perlukan bacaan, bukan sekadar untuk dilihat atau didengar. Umat membaca akan menguasai maklumat,dalam erti kata lain, menguasai ilmu. Apa lagi yang lebih bernilai daripada emas selain ilmu yang bermanfaat. Memetik kata Robert T.Kiyosaki, jika anda memilih untuk melabur, melaburlah pada aset no. 1 anda kurniaan tuhan yang percuma, otak. Lihatlah bagaimana bangsa Jepun mampu bersaing dengan Amerika walaupun mereka dahulunya jauh ketinggalan. Jelas membaca bukan sekadar hobi yang menjadi pilihan, tetapi keperluan setiap insan.

“What You Read is Who You Are”

Jean Anthelme Brillat-Savarin, seorang peguam dan ahli politik Perancis dalam bukunya bertajuk The Physiology of Taste menulis.

“Tell me what you eat and I will tell you what you are”

Saya bersetuju dengan buah fikirannya, makanan yang bernutrisi menjamin individu yang cergas dan cerdas. Islam sendiri menggalakkan umatnya makan makanan yang halal lagi bersih agar umatnya sentiasa dalam kondisi kesihatan terbaik. Namun, minda juga perlukan makanan, tetapi kita sering terlupa untuk memenuhi keperluan minda. Pada saya bacaan adalah makanan minda, minda yang baik mendapat makanan dari sumber bacaan yang halal lagi bersih. Bacaan yang bermanfaat akan melahirkan masyarakat yang sinergi dan analitikal. Bukan hanya menerima input membabi buta tanpa menghadam dengan enzim pengalaman dan ilmu.

“Tell me what you read and I will tell you what you are”

Bacalah!

Justifikasi Penyepian Juraij.Com

Setelah sekian lama menyepi tanpa sebarang entri, setelah bertungkus lumus memerah neuron-neuron encephalon seberat 2 kg ini untuk menyampaikan apa yang benar-benar dimaksudkan dalam satu entri yang ringkas dan straight to the point.

Saya masih dalam proses pelajaran menulis, agak sukar bagi insan seperti saya yang kekurangan bakat menulis semulajadi untuk menulis. Saya berpendapat penulisan yang kosong hanya membuang masa dan berkemungkinan menambah dosa jika penulisan itu secara langsung atau tidak langsung membuatkan pembaca melakukan sesuatu yang sia-sia, lebih-lebih lagi “sesuatu” yang membawa dosa saya secara langsung atau tidak langsung akan mendapat saham dari aktiviti dosa itu. Bukan tidak mahu menulis, terlalu banyak yang ingin saya kongsikan dan bincangkan dengan tuan-tuan.

InsyaAllah, mulai hari ini saya akan pastikan sekurang-kurangnya satu entri untuk kita kongsi dan bincangkan bersama setiap minggu. Juraij.com sememangnya blog yang kurang menarik dan tidak memiliki pengunjung yang ramai, namun diharapkan pengunjung-pengunjung yang sudi mencemar duli untuk singgah diblog ini sudi juga untuk meninggalkan sepatah dua nasihat, pendapat, atau apa-apa sahaja yang dirasakan baik bagi membina masa depan yang lebih baik. Baik untuk Islam, baik untuk Malaysia, baik untuk masyarakat dunia dan segala apa yang membawa kebaikan dan lebih kebaikan kepada semua.

Jazak Allah Khairan Kathira atas kesudian tuan-tuan menyumbang masa di Juraij.com.

p/s: Juraij lebih gemar menggunakan kata ganti diri “SAYA” dan “RAKAN-RAKAN” atau “RAKAN” atau “KAWAN” atau “KAWAN-KAWAN” kepada para pengunjung yang dirasakan lebih sebagai sahabatnya biarpun mereka tidak pernah bersua muka.

Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis

Petikan dari laman web PEMBINA:

Tajuk di atas tentunya mengundang pelbagai persoalan. Antara persoalan-persoalan yang timbul: Apakah itu agenda zionis? Benarkah agenda zionis telah berakhir? Bagaimanakah ia berakhir? Siapakah yang bertanggungjawab menamatkan riwayat agenda zionis itu? Persoalan-persoalan ini bakal kita sama-sama teliti, fahami dan perhalusi dalam Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis, yang bakal diadakan pada 9 Mei bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Tema “Berakhirnya Agenda Zionis” sememangnya telah dipilih dengan begitu teliti dan memiliki keunikan yang tersendiri. Secara lazimnya, apabila kita memperkatakan isu Palestin, akan tergambar di fikiran kita imej-imej kesengsaraan, penganiayaan dan kezaliman umat Islam Palestin yang seakan tiada pengakhirannya. Nasib yang menimpa rakyat Palestin yang menjadi pelarian di bumi sendiri, dinafikan hak, diperlakukan dengan kejam seolah-olah tiada harga diri, nilai nyawa yang sebegitu murah, dan kekejaman rejim zionis yang tidak mengenal mangsa sama ada wanita, orang tua atau kanak-kanak begitu menyayat hati. Ditambah lagi dengan suasana kemusnahan pasca serangan kejam pada awal tahun ini, wajarkah dikatakan Agenda Zionis telah berakhir? Inilah merupakan satu keunikan tema ini yang paling utama. Ia membicarakan isu konflik Israel-Palestine dari perspektif yang amat berbeza daripada lazimnya.

Antara elemen penting dalam agenda zionis adalah kewujudan “The Greater Israel” atau yang kita terjemahkan sebagai “Israel Raya”. Projek Israel Raya merangkumi seluruh kawasan di antara Sungai Nil di Mesir dengan Sungai Euphrates yang merentasi bumi Iraq dan berpusat di Baitul Maqdis. Agenda ini begitu signifikan dalam keseluruhan agenda Zionis, sehingga ia dijadikan bendera bagi Negara haram Israel, dilambangkan melalui “Star of David” di antara dua garisan biru. Konsep Israel Raya mula dicanangkan semasa Persidangan Zionis Sedunia di Basel, Switzerland pada 1897 oleh Theodore Hertzl. Antara resolusi persidangan itu ialah penubuhan Israel Raya dalam masa 100 tahun. Penubuhan Negara Haram Israel seolah-olah telah berjaya dicapai pada Mei 1948 dan diiktiraf oleh PBB melalui resolusinya. Benarkah zionis telah hampir berjaya? Kita bukan sahaja meyakini bahawa agenda Israel Raya ini akan gagal dan berakhir, malah kita meyakini bahawa penubuhan Negara Israel itu sendiri masih belum berjaya. Hakikatnya, Israel masih digelar sebagai Negara Haram Israel oleh jiran-jiran mereka. Tragedi Gaza baru-baru ini juga membuktikan kepada kita bahawa Israel Raya tidak akan menjadi realiti, bahkan penduduk Gaza yang serba kekurangan itu telah mampu mencabar penguasaan Israel ke atas rantau Asia Barat.


Mengembalikan Izzah Umat

Perbicaaran isu Palestin dari perspektif ini diharapkan akan memberikan harapan baru kepada umat Islam seluruh dunia. Sejak kejatuhan Kerajaan Islam Uthmaniyah pada awal kurun yang lalu, umat Islam di seluruh dunia telah ditindas dengan penjajahan dan pelbagai bentuk kezaliman dan penganiayaan. Kesan daripada rentetan kezaliman ini begitu ketara sehingga nilai-nilai negatif seperti perasaan lemah, tertindas dan teraniaya seolah-olah telah sinonim dengan umat Islam. Sekiranya ada kelompok umat yang bangkit pun mereka akan dicop sebagai pengganas. Hakikat ini seakan telah berjaya dipaksakan ke atas umat Islam dengan propaganda yang pelbagai bentuk dan konflik-konflik yang bersilih-ganti di seluruh dunia umat Islam. Kemegahan dan kejayaan umat selama ribuan tahun ditenggelamkan dan menjadi sejarah yang dilupakan. Isu Palestin yang menjadi isu induk umat Islam yang terus berjalan tanpa penyelesaian hampir seabad lamanya. Berakhirnya agenda zionis merupakan penyelesaian kepada isu umat Islam Palestin secara khusus, dan umat Islam di seluruh dunia secara amnya.

Konvensyen “Berakhirnya Agenda Zionis” bakal merungkai tanda-tanda akan berakhirnya agenda zionis dan tanda-tanda kemenangan umat Islam. Beberapa hadis yang kita selalu dengar tentang kemenangan umat Islam menggambarkan bahawa Zionis bakal dikalahkan dengan kedatangan Nabi Isa, turunnya Imam Mahdi, atau apabila “bercakapnya pokok-pokon dan batu-batu”. Kita meyakini kebenaran hadith-hadith ini. Namun kita amat tidak bersetuju dengan pihak-pihak yang menggunakan hujah hadith-hadith sebegini untuk mengambil sikap tunggu dan lihat. Kita meyakini sunnatullah bahawa kemenangan tidak akan datang bergolek. Setiap individu Islam wajib berusaha sehabis baik mengikut cabang kemampuan masing-masing bagi menyiapkan barisan umat yang akan beroleh kejayaan. Konvensyen ini bakal menjelaskan apakah peranan umat dalam isu ini, di samping memberi keyakinan bahawa Zionis bukanlah gerakan yang tidak akan tertewas.

Mencabar Zionis di Medan Mereka

Mencanangkan “Berakhirnya Agenda Zionis” merupakan satu lambang kesungguhan dan keberanian. Ini merupakan satu keberanian mencabar Zionis di peringkat antarabangsa, di medan yang mereka kuasai iaitu media dan propaganda. Zionis telah lama menggunakan propaganda media untuk menanamkan kegerunan seluruh dunia terhadap kuasa mereka. Asia Barat seolah-olah berada di bawah telunjuk mereka dengan mereka mewar-warkan kecanggihan teknologi ketenteraan yang mereka miliki yang dikatakan tiada tandingan di rantau itu. Malah badan dunia seperti PBB tidak mampu berbuat apa-apa apabila resolusi demi resolusi yang dikeluarkan tidak diendahkan oleh Israel. Zionis seakan-akan berjaya mengelabui pandangan dunia dalam menjustifikasikan kewujudan Negara haram Israel melaui propaganda tragedi “Holocaust”, penipuan ilmu sejarah dan pemalsuan artifak-artifak arkeologi.

Kita ingin mengatakan bahawa satu-persatu penipuan ini sedang diselongkar dan dibongkarkan. Semakin banyak pihak mempersoalkan kedahsyatan peristiwa holokaus yang sengaja diperbesar-besarkan. Semakin banyak pihak mempersoalkan tindakan kejam Israel ke atas orang awam, pencabulan hak asasi manusia serta kebenaran hujah ‘mempertahankan diri daripada seranga pengganas’ yang dipergunakan oleh Israel. Agenda Zionis akan berakhir!


Cahaya di Hujung Terowong

Sesungguhnya, kita meyakini bahawa tanda-tanda kehancuran zionis telah bermula, Bukti-buktinya kian jelas dan telah terbongkar satu persatu. HAMAS dan umat Islam di Gaza adalah satu bukti nyata akan kehancuran Israel. Kita mahu supaya seluruh dunia Islam melihat Gaza sebagai umat contoh, dan segala kezaliman dan kekejaman tidak akan melemahkan semangat kita. Kita ingin supaya Gaza menjadi pembakar semangat dan pencetus kebangkitan Islam seluruh dunia, dalam menuntut kembali hak-hak mereka, mengangkat agama Islam ini ke tempat yang sewajarnya. Tiada kekuatan yang akan mampu mengalahkan gerakan ini, tiada benteng yang akan dapat menghalang arus ini.

Cengkaman Yahudi di medan-medan lain jugak akan tercabar satu persatu. Krisis ekonomi seluruh dunia mula menyebabkan banyak pihak mempersoalkan sistem ekonomi kapitalis yang di dokong Yahudi. Kita melihat semakin banyak tumpuan diberikan kepada sistem ekonomi alternatif khasnya sistem berlandaskan syariah.

Konvensyen Berakhirnya Agenda Zionis ini juga bakal mencungkil tanda-tanda kehancuran Zionis yang berpandukan Kitab Taurat itu sendiri. Penulis Arab, Safr Abdul Rahman Al-Hiwali dalam bukunya ”Hari Kemurkaan: Adakah Bermula Dengan Intifadhah Rejab” menerangkan bahawa Kitab Taurat menggambarkan bahawa orang Yahudi bakal dikumpulkan di suatu tempat untuk menerima balasan Allah terhadap kezaliman mereka sejak zaman-berzaman. Buku ini membincangkan adakah hari kemurkaan telah bermula dengan berlakunya Intifadhah Rejab, iaitu intifadhah yang tercetus selepas Ariel Sharon mencemari perkarangan Masjid Al-Aqsa pada 28 September 2000 dengan menjejakkan kaki di dalamnya. Maklumat lanjut berkenaan Hari Kemurkaan ini, akan kita bincangkan dalam konvensyen kita nanti.

Inilah Jihad Kita

Umat Islam di Palestin telah melaksanakan jihad mereka. Mereka berjihad dengan batu, senjata dan darah. Mereka sanggup mengorbankan nyawa dan anak-anak mereka untuk semata-mata mepertahankan tanah waqaf umat Islam. Bagi kita, inilah jihad kita, jihad dengan ilmu, harta dan segenap yang kita ada. Jihad kita di antaranya adalah untuk menghidupkan kesedaran dalam diri umat ini untuk bangkit dan memberikan sumbangan mereka sedaya-upaya mereka. Jihad kita adalah dengan perang psikologi menentang propaganda Yahudi. Jihad kita adalah dengan pena, suara dan minda. Jihad kita ialah berusaha untuk kembali kepada sumber kekuatan kita; ia adalah agama Islam yang telah mengangkat darjat umat terdahulu.
Jihad kita baru sahaja bermula!

Ayuh bersama-sama dengan PEMBINA dalam jihad ini!

Oleh:

Zaizul Azizi Zaman
Ketua Biro Latihan
PEMBINA

Rapat Umum Selamatkan Gaza


Rakyat Malaysia di jemput hadir dalam Rapat Umum Selamatkan Gaza bagi menyatakan sokongan terhadap rakyat Palestin di Gaza dan mengutuk kezaliman yang dilakukan olah rejim Zionis ke atas mereka.
Anjuran: Aman Palestin
Tarikh: 10 Januari 2009m/13 Muharram 1430h
Masa: 10 pagi hingga 12 tengahari.
Objektif:
1- Menyatakan kebersamaan rakyat Malaysia dalam menghadapi penderitaan yang dialami oleh rakyat Palestin di Gaza.
2- Memberi sokongan dan kepedulian rakyat Malaysia terhadap saudara mereka di Gaza.
3- Megutuk kezaliman yang dilakukan oleh rejim Zionis Yahudi ke atas rakyat Palestin di Gaza.
Aktiviti: Tayangan multimedia, deklamasi sajak, perasmian kempen Selamatkan Gaza, ucapan khas isu Gaza, doa dan lain-lain.

I’ll be there.What about you?

Modified Lyrics for Andaiku Tahu from Ungu

Memang Ku Tahu
by Kelabu-Asap

memang ku tahu
akan tiba ajalku
lantas ku pohon
Tuhan tolong ampunkan dosaku

memang ku tahu
akan tiba masaku
lantas ku pohon
Ambillah nyawa ku dalam husnulkhatimah

aku takut
akan semua dosa-dosaku
aku takut
dosa yang terus membayangiku

memang ku tahu
malaikatMu kan menjemputku
izinkan aku
mengucap kata taubat padaMu..

ampuni aku
dari segala dosa-dosaku
ampuni aku
menangis ku bertaubat padaMu

aku manusia
yang takut neraka.
namun aku juga
tak pantas di surga