Celupan Warna: Kearah Akhlak Terbaik

Sabda Rasulullah SAW: “Islam itu akhlak yang baik.”

Dalam hadith yang lain Baginda bersabda: “Tidak ada sesuatu yang lebih berat timbangannya selain daripada akhlak yang mulia.”

Saya simpulkan, politik Islami mestilah politik berakhlak, bukan politik kutuk mengutuk, caci maki, pukul memukul, hina menghina. Tanpa mengira label parti atau pakatan, seorang muslim hendaklah berperilaku yang terbaik dalam hidupnya dengan mengambil Rasulullah SAW sebagai contoh (Al-Qalam:4). Apabila ditanya oleh seorang Arab Badwi tentang akhlak Rasulullah SAW, beliau menjawab “Akhlaknya (Muhammad) itu Al-Quran”.

Credit to Anonymous

Warna Politik Malaysia

Hijau. Biru. Merah. dan pergerakan warna terkini KUNING.

Mustahil untuk seorang yang waras dan mencintai kebenaran menolak apa yang diperjuangkan BERSIH. Lapan tuntutan yang diperjuangkan itu relevan dalam konteks melahirkan sebuah negara yang diperintah secara telus, adil dan saksama.

Namun begitu, warna utama label-label politik negara dilihat lebih menguasai perilaku (akhlak) politik masyarakat secara umumnya. Jika sebarang pendapat dikeluarkan dilihat lebih kepada warna musuh politik (walaupun musuh politik itu adalah saudara seIslam), maka secara automatik label warna musuh akan dicalit pada dahi si pulan. Dinding perbezaan didirikan,segala persamaan hakiki dinafikan. Keadaan ini memaksa setiap ahli masyarakat hanya memilih diantara dua label, tidak boleh berkecuali, tidak boleh juga pada persamaan keduanya walaupun atas dasar kebenaran.

Kenali Musuh Hakiki

Saudara ku, aku hanya berpegang pada Al-Quran dan Sunnah Rasul junjungan kita, Rasul terakhir yang diakui kerasulannya oleh Rasul-Rasul dan Nabi- Nabi sebelumnya. Bukan label dan warna parti, bukan pada sukan yang diminati, jauh sekali atas dasar bangsa membuta yang mendiskriminasi.

Demi sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.(Al-Maaidah 5:82)

Dalam ghairah kita melaung keinginan kita untuk menzahirkan kebenaran dan menghapuskan ketidakadilan, adakah kita pasti corak permainan politik dan sistem pemerintahan yang kononnya cuba kita corak ini BERSIH daripada campurtangan tangan-tangan ghaib? Inikah cara perjuangan yang diharuskan dalam konteks semasa?

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut agama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): “Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar”. Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.
(Al-Baqarah 2:120)

Sejarah membuktikan bangsa kita sering dilagakan oleh “tangan-tangan” ghaib, perlagaan ini akhirnya merugikan diri sendiri dan hanya menguntungkan “tangan-tangan” ghaib ini.

Sarawak dikurnia kepada James Brook, untuk balasan bantuan menentang penentangan masyarakat perbumi Sarawak terhadap Kesultanan Brunei.

Kerajaan Kedah hilang kuasa terhadap Pulau Pinang apabila Francis Light memungkiri janji Perjanjian Inggeris-Kedah 1786 membantu mempertahankan Kerajaan Kedah menentang Siam. Kerajaan Kedah juga kehilangan Seberang Perai apabila dipaksa menandatangani Perjanjian Persahabatan dan Perikatan 1800.

Tidak lupa juga kejatuhan Melaka akibat perselisihan faham dikalangan pemimpin Melayu yang terdorong mendapatkan bantuan Portugis yang akhirnya menjatuhkan dan melenyapkan kesemua tanda-tanda kegemilangan Empayar Kerajaan Melayu Islam Melaka.

Cukuplah, aku penat dengan pertelingkahan saudara sendiri. Teruskan berjuang, jangan sekadar mengenali rakan perikatan mu, kenali juga musuh hakiki mu.

(Katakanlah wahai orang-orang yang beriman: “Agama Islam, yang kami telah sebati dengannya ialah): celupan Allah yang mencorakkan seluruh kehidupan kami dengan corak Islam); dan siapakah yang lebih baik celupannya daripada Allah? (Kami tetap percayakan Allah) dan kepadaNyalah kami beribadat”.
(Al-Baqarah 2:138)

Allahumusta’an.