Hitam Putih Politik

Sistem Mustahil Menang

Sistem politik yang saling menghitam dan menghentam ini menjadikan impian untuk melihat umat ini bersatu seakan mustahil. Dasar sistem ini sendiri membunuh kebersatuan serta menghapus persamaan. Sebagai contoh, apabila tampuk pemerintahan dipegang si merah, si hijau akan berusaha sedaya mungkin mencari kesalahan dan menonjolkan kelemahan si merah. Begitu juga sebaliknya apabila si hijau sebagai pemerintah, si merah akan sedaya upaya mencari jalan untuk kembali memegang kuasa itu.

Dalam sistem ini, siapa yang berjaya menonjolkan keburukan musuhnya akan dilihat sebagai “lebih baik”. Manakala yang “hitam” akan terus dipalit kehitaman keburukan itu sehingga dia berjaya menonjolkan keburukan lawannya sehingga dia dilihat lebih baik. Disini, adab diabaikan, akhlak dibuang, berita-berita buruk dan aib yang tidak diketahui sumber disebarkan. Asalkan “perjuangan” berjaya mendapat tempat dan dilihat lebih baik berbanding musuh.

Sebagai seorang muslim, tanggungjawab menegakkan kebenaran memerangi kemungkaran terletak diatas tulang empat kerat ini. Tanpa alasan, akan saya junjung dan perjuangkan kebenaran. Saya akui tuntutan “Pergerakan Kuning” selari dengan impian ketelusan yang menzahirkan keadilan di Malaysia.

Namun, melihat betapa Pergerakan ini dapat membuka ruang fitnah yang boleh dipergunakan tangan-tangan ghaib bagi melagakan saudara sendiri. Saya memilih tidak untuk BERSIH. Pergerakan ini serta pihak polis dan kerajaan saling bertunding jari mencari pencetus provokasi. Apakah pasti andaian tidak berasas mana-mana pihak ini telus dan benar?

Pihak polis dan kerajaan menuduh peserta-peserta pergerakan sebagai punca utama keganasan di perhimpunan ini. Apakah pencetus keganasan itu adalah peserta yang benar-benar hanya mahu memperjuangkan 8 tuntutan itu?

Para peserta menuduh pihak polis dan kerajaan cuba memprovokasi dari dalam. Benarkah itu anjing-anjing kerajaan atau sememangnya peserta yang tidak dapat mengawal diri?

Pastikah si pulan dikiri dan kanan kita ketika berhimpun itu adalah benar-benar saudara yang memperjuangkan apa yang kita perjuangkan? Yang sanggup sehidup dan semati berjuang?

Siapakah dia? Benarkah niatnya? atau sekadar merai emosi menikmati keseronokan adrenalin?

Yang baik diakui rakan, yang kasar dituduh anjing pihak lawan. Kurang adil menunding jari sebegini. Sebagai pejuang keadilan, perlu juga adil pada musuh. Bukan hanya pada diri sendiri.

Yang Dikejar Tak Dapat,Yang Dikendong Berciciran

Perbalahan ini memerlukan si lawan saling menghitamkan,saling mengaibkan,saling menyalahkan. Disogok pula dengan ruang-ruang yang boleh dicucuk api fitnah oleh tangan-tangan ghaib agar perpecahan itu makin nyata. Akhirnya,tangan-tangan ghaib itu meraih kemenangan sedang dua saudara kalah bergelendangan.

Tanpa kesatuan amat mustahil kemenangan yang diimpikan dapat dicapai. Walau dengan cara apa sekalipun,umat yang lemah tidak akan berjaya menguasai lawan yang sebenar. Bahkan, lawan sebenar akan terus mempermainkan kita tanpa sedar,dari segenap pelusuk.

Ini memenatkan mereka yang keliru dengan dasar perjuangan yang sebenar. Akhirnya politik diabaikan remaja bakal pewaris negara,yang bersemangat pula berjuang kosong disogok perjuangan palsu yang bersifat sementara.

Barah Persaudaraan

Membaca perang status di laman-laman sosial diantara dua belah pihak yang saling
berbalah amat meretakkan hati. Lebih teruk perbalahan itu antara dua saudara,antara saudara seagama,dua beradik.

Tidak ada yang lebih teruk selain perbalahan atau pertelingkahan dalaman. Umpama duri dalam daging,pertelingkahan itu akhirnya hanya akan merugikan kedua-dua pihak yang bertengkar.

Ia menjadi kanser sebuah pertalian yang lebih agung melebihi keagungan apa yang diperjuangkan dalam perbalahan tersebut.

“Kita perangi manusia dengan kasih sayang” kata Imam Hassan Al-Banna. Kasih sayang saudara ku,itulah senjata terbaik berbanding kebencian dan kemarahan.

29 April 2012 1536
Anjung UniMAP Kulim
Kulim, Kedah D.A.