Aku Membaca Bukan Kerna Hobi

Ini hanyalah sekadar buah fikiran saya berkenaan budaya membaca dikalangan masyarakat kita-Melayu atau tidak. Skeptik dengan pihak yang mengatakan budaya membaca sangat rendah dikalangan masyarakat Malaysia-Melayu terutamanya. Sebagai salah seorang ahli didalam “masyarakat” tersebut, sudah tentu saya sangat tidak bersetuju dengan dakwaan-dakwaan pihak berkenaan.

Kekurangan Bahan Bacaan

Masyarakat Malaysia sememangnya rajin membaca, terima kasih atas promosi Perpusatakaan Negara Malaysia agar membaca dijadikan amalan yang nampaknya memberikan impak positif terhadap aktiviti membaca dikalangan masyarakat Malaysia. Kajian PTS mendapati purata seorang rakyat Malaysia menghabiskan sekurang-kurangnya 8 buah buku setahun (Ainon, 2008). Ini tidak termasuk bahan bacaan sampingan seperti majalah-majalah, surat khabar, artikel-artikel di internet dan pelbagai sumber bacaan lain yang mungkin terlepas pandang dalam mengkaji tahap pembacaan masyarakat Malaysia. Tidak dinafikan, kekurangan sumber bacaan dalam bahasa ibunda sendiri boleh memberi kesan negatif pada budaya membaca masyarakat. Lebih utama, penggunaan Bahasa Melayu tinggi direndahkan oleh penulis-penulis, khususnya penulis-penulis blog, seakan-akan merendahkan potensi menulis mereka.

Faktor Genetik Pengaruh Budaya Membaca

Berkerut dahi saya kehairanan apabila ada mengatakan budaya membaca dipengaruhi oleh faktor genetik. Sungguh menghairankan! Ibubapa saya datang dari keluarga yang kurang berkemampuan, namun mereka rajin membaca. Ini berlainan dengan anak sulung mereka (saya lah tu!) yang sangat malas membaca. Saya hanya mula membaca setelah saya tamat sekolah menengah, kerana menyedari membaca bukan hobi, bukan juga aktiviti mengisi masa lapang, tetapi keperluan, kewajipan setiap insan terutama mereka yang bergelar Muslim. Masakan tidak? Sedangkan Rasullullah sendiri, biarpun dikurniakan Allah ketidakmampuan untuk membaca (Ya! Itu satu kurniaan), diajar ayat pertama oleh Jibril “Bacalah!”. Mengapa tidak Jibril katakan “Dengarlah!” sedangkan itu lebih mudah, hanya dengar ceramah, pembentangan, dan bacaan orang lain juga kita boleh mendapatkan ilmu. Sumber rujukan seorang Muslim, Al-Quran dan Al-Hadith juga memerlukan kita untuk membacanya, bukan sekadar melihat-membaca mengeluarkan suara- atau mendengar. Jelas, membaca langsung tidak dipengaruhi genetik. Tetapi saya bersetuju persekitaran memainkan peranan penting dalam memupuk budaya membaca. As-Syahid Al-Imam Sheikh Hasan Al-Banna, pengasas Ikhwanul Muslimin, dalam usaha menyemai budaya membaca kepada anak-anak beliau, menghadiahkan mini library kepada setiap putera dan puteri beliau.

Membaca Untuk Mengoncang Dunia

Tun Dr. Mahathir Mohamad antara seorang pemimpin yang kagumi umum sebagai seorang strategist thinker, dengarnya membaca sebuah buku walau didalam tandas. Bill Gates, billionaire no. 1 dunia dalam bukunya Business at The Speed of Thought menegaskan, siapa yang menguasai maklumat, menguasai dunia. Apakah lagi sumber maklumat jika bukan dengan membaca? Islam sangat menggalakkan budaya membaca, lihat sahaja sumber rujukan utama seorang Islam, Al-Quran dan Al-Hadith. Kedua-duanya perlukan bacaan, bukan sekadar untuk dilihat atau didengar. Umat membaca akan menguasai maklumat,dalam erti kata lain, menguasai ilmu. Apa lagi yang lebih bernilai daripada emas selain ilmu yang bermanfaat. Memetik kata Robert T.Kiyosaki, jika anda memilih untuk melabur, melaburlah pada aset no. 1 anda kurniaan tuhan yang percuma, otak. Lihatlah bagaimana bangsa Jepun mampu bersaing dengan Amerika walaupun mereka dahulunya jauh ketinggalan. Jelas membaca bukan sekadar hobi yang menjadi pilihan, tetapi keperluan setiap insan.

“What You Read is Who You Are”

Jean Anthelme Brillat-Savarin, seorang peguam dan ahli politik Perancis dalam bukunya bertajuk The Physiology of Taste menulis.

“Tell me what you eat and I will tell you what you are”

Saya bersetuju dengan buah fikirannya, makanan yang bernutrisi menjamin individu yang cergas dan cerdas. Islam sendiri menggalakkan umatnya makan makanan yang halal lagi bersih agar umatnya sentiasa dalam kondisi kesihatan terbaik. Namun, minda juga perlukan makanan, tetapi kita sering terlupa untuk memenuhi keperluan minda. Pada saya bacaan adalah makanan minda, minda yang baik mendapat makanan dari sumber bacaan yang halal lagi bersih. Bacaan yang bermanfaat akan melahirkan masyarakat yang sinergi dan analitikal. Bukan hanya menerima input membabi buta tanpa menghadam dengan enzim pengalaman dan ilmu.

“Tell me what you read and I will tell you what you are”

Bacalah!